Biar bodoh jangan biadap

 Selamat pagi,



Aku menaip sengaja untuk mengingatkan kepada diri aku juga kalian, marhaen. Jangan kita jembel dalam budi bahasa. Jangan kita jembel dalam adab percakapan walaupun ia hak suara itu ada. Percakapan. Berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu ucapan, perkataan, klausa, frasa dan juga ayat. Bagi kita, ayat yang dikeluarkan biasa tetapi kita tidak tahu sejauhmana dalamnya ayat tersebut kepada orang lain. Ku ulang, jangan kita jembel. Mengamalkan nihilsme dalam kehidupan kita.

Dalam Adat mahupun agama, menghormati orang itu penting. Sepandai apa pun engkau sedoktor apa pun engkau jangan kau hilang adab. Biar bodoh jangan biadap. Berhati-hati dalam percakapan seharian. Kawal diri kau dalam mengeluarkan perkataan. Terkadang perkataan yang dilafazkan boleh memakan diri. Maaf, aku tidak percaya kepada ayat “Mulut dia sahaja yang jahat tetapi hatinya baik”. Kerana bagi aku apa yang dilafazkan pada mulut adalah dari hati. Maaf sekali lagi tetapi ini adalah pendapat peribadi aku dan mungkin kita membawa perspektif yang berbeza tetapi kukira ramai  marhaen yang bersetuju dengan aku bahawa adab itu penting. Kita lihat kepada skop yang kecil iaitu dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kini, acapkali kita lihat (maaf sekali lagi), ibu menjadi hamba kepada anak, ibu pula yang takut kepada kita dengan percakapan kita, putus persaudaraan kerana tiada toleransi dalam persaudaraan, hilangnya hormat diantara adik dan kakak/ abang. Kita pergi kepada skop dalam kenalan dan persahabatan. Kita perlu sedar tidak semua orang berada di dalam kasut yang sama dengan kita. Aku saiz 37 engkau saiz 42. Aku tahu engkau semua faham apa yang aku nak sampaikan. Sebelum nak cakap sesuatu tengok sekeliling, cuba adapt dan ada common sense sebelum mengeluarkan kata-kata. Cukup sampai situ, aku tahu engkau semua dah besar.

Marah. Adakah kita puas hati apabila mengeluarkan kata-kata tajam? Seronok melihat orang lain terluka dengan kita yang kononnya bagus. Jika kita marah, jangan kita terus hamburkan. Mengeluarkan perlian dari segi bahasa dan lenggok badan. Aku tahu perit dalam menyimpan tetapi itu lebih bagus dari mengeluarkan. Adakah puas kita terjerit-jerit, marah menonong atau api kemarahan masih membuak. Ya, kerana itu sifat syaitan. Kerana marhaen, Rasulullah SAW bersabda; “Marah itu datangnya dari syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang antara kamu marah, maka hendaklah kamu berwuduk”. Katanya lagi, “Apabila salah seorang antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring”-Riwayat Muslim. Ingat marhaen, kalau kau marah orang lain pun boleh marah, kalau kau sedih, orang lain pun boleh sedih jadi jaga perasaan orang lain sebelum mengucapkan sebuah kata agar tidak ada yang terluka. Aku menulis bukan untuk popular Juga aku tidak mahu engkau menerima bulat-bulat percakapan aku tetapi tolong fikir sejenak dan tidak boleh dinafikan adab itu penting. Aku menulis bukan untuk diagungkan tetapi aku menulis kerana tiada orang yang mendengar suara aku.


Update tambahan (11: 37pagi )

Salah seorang dari classmate aku dikhabarkan meninggal pada pukul 10 pagi tadi. aku taktahu dari sisi dia. Pernah aku takbalik cuti sem dan duduk dengan dia. Mengaku aku kata dia seorang yang baik. Sesen pun dia tak minta dekat aku untuk bayar makan minum aku dekat rumah dia. Cuma sekarang ini aku menangis sebab aku terkilan, aku tak sempat minta maaf takut ada yang tidak dihalalkan atau menguriskan. Tenanglah kau kawan. Aku mendoakan kesejahteraan engkau disana dan mohon untuk pembaca semua menyedekahkan kalimat al-fatihah buatnya. Aku sedar, dosa dengan tuhan boleh minta pada tuhan tapi dosa dengan orang kena minta dengan orang. 

Comments