Tika malam menyepi , dingin begitu menyengat menyapa tulang belulangku. Jarum jam menunjukkan angka 1.50 pagi. Waktu ini, rakan-rakanku dan sudah pasti kamu, lena diulit mimpi. Terpanggil aku tika ini untuk mencoret sesuatu dalam cacatan ini. Seakan jari jemariku ligat ingin menaip sesuatu yang aku sendiri kurang pasti. Pada malam ini, aku hanya mengikut gerak jemari yang indah menari di papan kekunci komputer ribaku tanpa ku tahu asbab penulisanku.
Nampaknya, aku manusia yang lupa akan janji. Aku berjanji pada kamu semua untuk berkongsi tentang perkara lain, namun laju saja akal dan jari jemariku menyangkal. Maaf untuk Keingkaran janjiku. Berkongsi sesuatu walaupun di blog itu memrlukan idea, imaginasi yang tinggi serta mood yang baik. AKu perlu duduk berseorangan seperti sekarang. Aku tidak merencanakan akan penulisanku malam ini akan tetapi ianya seakan-akan datang memangilku.
Aku bukan ingin membuka aibku. Tapi jujur kini, aku berasa kosong. Sangat-sangat kosong. Sedangkan alhamdulillah aku dikelilingi oleh orang-orang yang sangat sayang padaku. Aku tidak mempunyai sebarang masalah tika ini jauh sekali dalam urusan percintaanku. Beliau sangat menyokong apa yang ingin aku lakukan dengan memberikanku sepenuh kebebasan. Aku juga mempunyai rakan-rakan yang baik, sangup mendengar lawakku yang kadang mungkin menyakitkan hati mereka, namun, itulah rakan. Tidak sanggup berkata tidak. Aku juga mempunyai keluarga yang baik, turut memberikanku seratus peratus kebebasan barangkali kepada diriku. Alhamdulillah, aku lebih suka begitu. Diberi kebebasan untuk melakar corak kehidupan harian ku sendiri. Dari kecil, aku memang tidak suka berkongsi mahupun diarah-arah. Aku lebih suka memberontak dan membentak. Namun, aku tidak tahu, mengapa dengan diriku.
Hatta, pada ketika hari lahirku, aku juga merasa kosong. Walaupun keluarga, teman istimewa dan juga rakan-rakanku masing-masing berusaha menyambut kelahiranku. Namun, sebenarnya aku berasa kosong. Walaupun begitu, terima kasih kerana telah menyambut. Aku menghargainya terutama kepada teman istimewaku. Aku sangat gembira pada malam ini. Seolah ada warna sedikit pada hariku yang sebelum ini hanya bewarna senada.
Diriku seakan kosong. Tidak tahu mahu digambarkan bagaimana perasaanku sejak daripada beberapa minggu yang lepas. Namun tidak lah sampai hendak depression. Walaupun imanku senipis bawang namun aku masih ada agama. Aku sekadar berkongsi perkara ini dengan kamu semua.
Aku berasa ada sesuatu yang kurang dalam hidupku. Mungkin aku perlu mencari sesuatu yang kurang itu. Tapi aku tidak tahu serupa apakah ia, bagaimana dan apa. Dimana hendak kumula. Aku berasa aku mati sebelum masanya.
Kini aku lelah, sudah tiba waktunya untuk aku berehat seketika. Sekian.
Comments
Post a Comment